Followers

Pages

Demi masa...sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian..

Guru Bimbingan Sepenuh Masa

Guru Bimbingan Sepenuh Masa

Guru Bimbingan Sepenuh Masa

Sunday, July 4, 2010

Bengkel Sahsiah Pembelajaran

PROGRAM PENINGKATAN DAN KECEMERLANGAN AKADEMIK
MOTIVASI PENCAPAIAN : MENINGKATKAN SAHSIAH PEMBELAJARAN

1.0 Pengenalan

UPSR 2010 hampir menjelang tiba. Kecemerlangan pencapaian sangat bergantung kepada penumpuan murid-murid menyelesaikan soalan-soalan secara tepat dan berkesan. Oleh itu suatu bentuk kaedah yang intensif amat perlu untuk membantu murid-murid menjadi mahir menghadapi soalan-soalan UPSR.

2.0 Matlamat

Melalui kursus/bengkel ini dapat melahirkan murid-murid yang mempunyai semangat belajar yang tinggi, berkeyakinan dan berupaya menyaring potensi diri ke arah kecemerlangan UPSR.

3.0 Objektif

Pada akhir kursus/bengkel yang disertai, pelajar dapat:

3.1 Mempunyai matlamat dan bercita-cita tinggi.
3.2 Meningkatkan kemahiran-kemahiran menjawab soalan.
3.3 Meningkatkan kemahiran merancang dan menguruskan diri dalam peperiksaan.
3.4 Meningkatkan kecemerlangan prestasi akademik murid.
3.5 Meningkatkan kesedaran dan kepekaan untuk menghadapi UPSR.

4.0 Sasaran

Murid SK Ayer Tawar : 58 orang

5.0 Tarikh dan tempat

Tarikh : 9 - 10 Julai 2010
Tempat : Amir Chalet Kg. Bharu

6.0 Input Kursus

Bengkel

Sunday, June 20, 2010

Perginya Seorang Idola

DAMAI ITU MILIKMU
(Kembalinya Seorang Ayah- Tok Sidang Haji Md. Raja b. Abdul Karim)

dingin subuh Jumaat itu
takkala para malaikat menebarkan
rezeki Allah ke seluruh pelusuk alam
kau insan terpilih yang dijemput
atas nama kebesaranNya,
diseru mengadapNya beriring
antara Ar-Rahman dan Ar-Rahim

masih ada garis senyum pada wajahmu
tika siraman air mawar membasah
sekujur tubuhmu yang kaku
riak tenang yang dulu masih kekal
seolah menyatakan betapa pemergianmu
suatu pertemuan kudus antara hamba dan Penciptanya

sayiddulayyam Jumuati
menjanjikan barakah dan makbul Allah
atas segala doa sekalian makhluk
yang mengiringi jenazahmu
ke persada taman barzah nan abadi

hening suasana bersulam senandung Al-Fatihah
serta rafak doa yang tidak berhenti
dari bisik hati sekalian kami
mengusap segala rindu
yang tidak padam

antara merah tanah
yang menimbun pusaramu
masih kami melihat
keringatmu yang bertali arus
tumpah dari dahi dan seluruh tubuhmu
membajai kehidupan kami

sekali tidak
lenguh dan penat
membuat kau berasa ingin mengeluh
mendewasakan kami dengan semangat
berjuang untuk menjadi insan
yang kenal erti budi dan pekerti

bukan tidak pernah kau rebah
oleh kepayahan hidup ini
juga angkara durja kawan dan lawan
namun bingkas kau bangun
menyatakan keazaman dan kekuatan
sesungguhnya adalah perjuangan
yang tulus tanpa sedikit kemaruk
pada ganjaran dunia dan pujian makhluk

tiada sejengkal tanah yang kau tinggalkan
tiada sebungkal emas yang kau wariskan
tiada segumpal ringgit yang kau pusakakan
yang ada hanyalah sebuah arkib cinta
yang terisi oleh seribu keramat kata
dan kalungan azimat nasihat buat kami
- biar miskin harta jangan papa jiwa
- biar apa orang kata, tuhan ada segalanya


cukuplah segala kenangan bagi kami
sempurnalah segala didikan bagi kami
abadi dalam jiwa
meresap ke seluruh urat saraf
mengenang seorang idola sepanjang hayat
seorang raja yang pernah bertakhta
memimpin kami ke mercu jaya

ayah,
bersemadilah dalam berkat, rahmat dan syafaat Allah
berlapikkan permaidani Rejab yang dimuliakan

Al-Fatihah buat seorang ayah
yang tidak pernah mengalah.


-Suarasa;
Lanraja SKAT
21 Jun 2010/8 Rejab 1431

Thursday, June 10, 2010

Thursday, June 3, 2010

Mensyukuri Nikmat

Assalamualaikum wr wb.
Cuti persekolahan datang lagi. Macam-macam perancangan yang dibuat untuk mengisi waktu cuti. Namun kepada anak-anak murid yang tersayang, ingatlah bahawa waktu cuti amat berharga dan bermakna sebagai kesempatan dan peluang terbaik untuk membaiki kelemahan dan kekurangan. Betapa panjangnya waktu sebermula dari bangun tidur hingga ke petang dan malam. Alangkah ruginya jika waktu yang panjang itu dibazirkan begitu sahaja. Gunakanlah waktu-waktu tersebut untuk mengulangkaji pelajaran dan menghafal sifir atau formula-formula penting terutamanya murid-murid Tahun 6 yang akan menghadapi UPSR pada September nanti. Semoga sihat, sejahtera dan sentiasa berusaha ke arah kebaikan dan kejayaan. Sekian, selamat bercuti dan teruskan belajar......Wassalam.

Friday, May 21, 2010

Bengkel Teknik Menjawab Soalan UPSR 2010

Bengkel Teknik Menjawab Soalan UPSR 2010

1.
Tarikh : 17 . 5 . 2010 (Isnin)
Tempat : Makmal ICT SKAT
Masa : 3.00 – 5.00 petang
Subjek : Bahasa Melayu (Penulisan)
Personalia : En. Abdullah b. Hussin
Guru Pakar Bahasa Melayu
SK Panchor, Pantai Remis

2.
Tarikh : 19 . 5 . 2010 (Rabu)
Tempat : Makmal ICT SKAT
Masa : 3.00 – 5.00 petang
Subjek : Matematik
Personalia : En. Abd. Aziz b. Abd. Majid
Guru Pakar Matematik
Guru Besar SK Seri Pangkor

3.
Tarikh : 20 . 5 . 2010 (Khamis)
Tempat : Makmal ICT SKAT
Masa : 3.00 petang – 5.00 petang
Subjek : Sains
Personalia : En. Mas Jamalulail b. Mas Mohamed
Ketua Pemeriksa UPSR Sains
PK KK SK Seri Pangkor


4.
Tarikh : 21 . 5 . 2010 (Jumaat)
Tempat : Makmal ICT SKAT
Masa : 3.00 petang – 5.00 petang
Subjek : Bahasa Inggeris
Personalia : Pn. Saadiah bt. Mahmud
Ketua Pemeriksa UPSR Bahasa Inggeris
Guru Besar SK Bakong, Bota Kiri.

Tuesday, May 4, 2010

Anugerah & Kurnia


Menjunjung kasih di atas kesudian DYMM Sultan Perak mencemar duli. Daulat tuanku!
Anak anugerah Tuhan. Kurnia tidak ternilai.

Pesan Imam Al-Ghazali: Adab Murid Terhadap Guru

Menurut Imam al-Ghazali seseorang murid hendaklah:
• Memberikan sepenuh perhatian kepada gurunya.
• Mendiamkan diri sewaktu guru sedang menyampaikan pelajaran.
• Menunjukkan minat terhadap apa yang disampaikan oleh guru.
• Tidak meninggikan suara terhadap guru, sebaliknya memadailah berkata dengan suara yang didengari.
• Sekiranya perlu bertanya, pastikan guru bersedia memberikan jawapan.
• Menghormati guru di hadapan dan belakangnya.
• Menutup kelemahan guru agar tidak didedahkan tanpa keperluan.•
Mendoakan kebaikan baginya.PEMUDA-PEMUDI HARAPAN SEKALIAN, Mulailah mengorak langkah sekarang. Jadilah angkatan pemuda dan pemudi yang sentiasa punya semangat tinggi dan keperibadian kreatif. Tidak larut dalam lumpur maksiat dan hanyut dalam arus perdaya syaitan. Tangisilah atas sikap kita, kelakuan kita, ketidaksanggupan kita, kemalasan kita,kejahilan kita dan ketidakprihatinan kita. Perbaiki diri kita dan serulah orang lain.
Epilog: “ Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang Telah mereka janjikan kepada Allah; Maka di antara mereka ada yang gugur. dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu- nunggu[apa yang Telah Allah janjikan kepadanya] dan mereka sedikipun tidak mengubah (janjinya),” al ahzab:23
Kelakuan baik dari murid sesungguhnya tiada batasnya. Dia hendaknya selalu berusaha keras (jihad) dan membuat kemajuan dengan Gurunya, dengan sesama saudaranya, dengan masyarakatnya, dan dengan Bangsanya, karena Allah selalu memperhatikan dia, Nabi (s.a.w.) selalu memperhatikan dia, Guru selalu memperhatikan dia, dan para Guru-Guru yang telah mendahului mereka selalu memperhatikan mereka. Dengan kemajuan yang tetap, hari demi hari, dia akan mencapai Keadaan Kesempurnaan (the State of Perfection) dengan petunjuk dan bantuan Gurunya. semoga kita semua menjadi murid yang sentiasa mentaati guru(selagi mana tidak bertentangan dengan syarak dan membawa maslahah hasanah), dan semoga Allah limpahkan barakah dalam hidup kita. semoga bakal anak2didik kita pada masa akan datang akan menghormati kita kelak.
BERBUDAYALAH DAN BERKELAKUANLAH SEBAGAI SEORANG GURU, MATANG DALAM MEMBUAT PILIHAN, KEPUTUSAN DAN DALAM MENGHADAPI MASALAH

Melentur Buluh Biar Daripada Rebungnya.


Silat Pusaka Warisan Bangsa.
Silat adalah gabungan gerak & langkah, seni & tari, pukul & tangkis, sepak & tepis, tumbuk & elak. Seninya tersusun dalam jurus-jurus yang diadun oleh kepandaian akal & kepintaran ilmu. Buah dan bunga, serang dan tangkis penuh muslihat, landasannya firasat.

Monday, May 3, 2010

Pesan Imam Al-Ghazali

Suatu hari, Imam Al-ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya,Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini ?
Murid 1 menjawab : Orang tua
Murid 2 menjawab : Guru
Murid 3 menjawab : Teman
Murid 4 menjawab : Kaum kerabat
Lalu Imam Ghazali menjawab : Semua jawapan itu benar tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Surah Ali-Imran :185)
Imam Ghazali bertanya lagi kepada murid-muridnya, Apakah yang paling jauh dari kita di dunia ini ?
Murid 1 menjawab : Negeri China
Murid 2 menjawab : Bulan
Murid 3 menjawab : Matahari
Murid 4 menjawab : Bintang-bintang
Lalu Imam Ghazali menjawab : Semua jawapan itu benar tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama.
Imam Ghazali menyoal lagi,Apakah yang paling besar di dunia ini ?
Murid 1 menjawab : Gunung
Murid 2 menjawab : Matahari
Murid 3 menjawab : Bumi
Lalu Imam Ghazali menjawab : Semua jawapan itu benar tetapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah al A'raf : 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.
Imam Ghazali terus menyoal lagi,Apakah yang paling berat di dunia ini ?
Murid 1 menjawab : Baja
Murid 2 menjawab : Besi
Murid 3 menjawab : Gajah
Lalu Imam Ghazali menjawab : Semua jawapan itu benar tetapi yang paling benar ialah MEMEGANG AMANAH. (Surah Al-Azab : 72)

Sunday, March 7, 2010

Pantun/Gurindam Tahun 6 Pintar

Apabila sesekali kita berlibur, hati yang gundah jadi terhibur;
Apabila kita suka bergerak, Ilmu sedikit menjadi banyak.
(Siti Noor Zila bt. Shaharum)
Dari Ipoh ke Teluk Intan,
Bawa seraga buah keranji;
Cakap ibu bapa jangan dilawan,
Mesti kita mereka sayangi.
(Mohd. Syahrizal b. Mohd. Tahir)
Pergi ke Pekan naik kereta,
Singgah sebentar di Kuala Langat;
Ibu dan bapa insan tercinta,
Nasihat mereka perlu diingat.
( Nur Syam b. Mohd. Nor)
Dua tiga kucing berlari,
Manakan sama si kucing belang;
Ibu bapa mesti dihormati,
Jasa mereka pasti kukenang.
(Mohd. Aidil Aiman)
Burung merbuk burung merpati,
Terbang mari di tepi telaga;
Pesan ibu mesti diingati,
Nasihat bapa mesti dijaga.

Cik Salmah berborak di titi,
Sambil berborak memegang peti;
Anggota kelurga mesti dihormati,
Barulah hidup kita diberkati.

Pergi ke sawah membanting padi,
Mak Leha datang dari kuala;
Kasih ibu kasih abadi,
Buat pedoman di hari tua.
(Nor Farahiza bt. Sukry)
Banyaklah angsa berebut terbang,
Membumbung angsa menuju lopak;
Banyaklah jasa disebut orang,
Agunglah jasa ibu dan bapak.

Sebesar-besar mayang pinang,
Takkan sama mayang kelapa;
Sebesar-besar sayangnya orang,
Takkan sama sayangnya ibu bapa.

Supaya tangan tidak terluka,
Jangan dikepit hulunya kapak;
Supaya Tuhan tidak murka,
Jangan sakiti ibu dan bapak.
( An-nur Farhany bt. Ahmad Zainuddin)
Pergi ke kedai membeli laksa,
Singgah bertandang di rumah Pak Alang;
Ibu dan bapa banyak berjasa,
Agar menjadi insan cemerlang.

Makan pulut inti kelapa,
Buat hidangan Si Tuan Puteri;
Pesan ibu jangan dilupa,
Hidup mesti sentiasa berbudi.
(Haziq Amani b. Taharen)
Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di dalam peti;
Kata ibu bapa jangan dibantah,
Kelak menyesal kemudian hati.
(Shamsul Hakimi b. Marzuki)
Tinggi bukit gilang gemilang,
Nampak dari Tanjung Jati;
Jasa ibu bapa takkan hilang,
Tetap dikenang sampai ke mati.
(Nurul Diyanah bt. Hasnan)
Pulang burung di kala senja,
Terbenam fajar bulan menjelma;
Belaian ibu selembut sutera,
Ciuman ayah kasih ke syurga.
(Muzaffar)
Sewaktu kecil ibu menjaga,
Laksana puteri ditimang-timang;
Ibu dan bapa hendaklah dipuja,
Diberi segala kasih dan sayang.

Beras pulut beras merah,
Dimasak dengan santan kelapa;
Hendaklah sabar jangan marah,
Barulah mudah mendapat pahala.
(Nur Hayati bt. Selamat)





Sunday, February 28, 2010

SU SUKAN



Hebatnya SU Sukan. Bukan senang kerjanya. Berat mata memandang, berat lagi bahu SU memikul. Syabas Cikgu Fakrulrazi! Teruskan kehebatan anda!

Thursday, February 25, 2010

Badan Cergas, Otak Cerdas


Berani mencuba itu permulaan. Mencuba untuk berjaya itu KEMAJUAN.

Sukantara


Hidup adalah satu perlumbaan. Ikut lorong yang betul. Kuatkan semangat dan tanamkan azam untuk tiba digarisan penamat sebagai seorang JUARA.

Tuesday, February 23, 2010

Hari Ini Dipimpin Esok Memimpin


Barisan Pengawas Sekolah 2010 bersama Cikgu Nazri dan Cikgu Arfah. Disiplin Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Pengawas Pusat Sumber Bersama En. Zakaria b. Abu Hassan (PK Pentadbiran)


Membaca amalan mulia. "Bacalah! Demi nama Tuhan kamu yang menjadikan. Menjadikan insan daripada segumpal darah......".

Maal Hijrah 1431: Menguatkan Ukhwah, Memperkasakan Ummah


Lihatlah tali persaudaraan antara kaum Ansar dan Muhajirin yang disatukan oleh ikatan iman dan perjuangan Islam sejati. Cubit peha kanan, peha kiri terasa sakit. Ingatlah Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, "Antara sesama Islam itu ibarat sebuah binaan batu-bata, andai runtuh salah satunya maka runtuhlah semuanya".

Wednesday, February 17, 2010

LAUTAN ITU ADALAH AKU

Saksikanlah sebuah lautan yang menyimpan sejuta khazanah. Sesekali ia tidak pernah berhenti mengangkut segala macam sampah-sarap, bangkai dan apa saja yang terdampar di pantai. Segala air dari longkang, parit, sungai dan setiap yang mengalir ke dalamnya tetap diterima walaupun keruh, busuk dan berlumpur. Ombaknya tidak pernah jemu mengukir fenomena pada kanvas pasir yang terbentang, biarpun ukirannya pasti lenyap pada setiap kali air pasang. Pada dasar sebuah lautan, alangkah karang menjadi lembut, rumput-rumput menari, ikan-ikan pun tidak menjadi sunyi oleh keasyikannya. Terokailah sebuah lautan kerana di situ akan kau temui kilauan butir-butir mutiara yang tidak terhingga nilaiannya. Betapa sebuah lautan tidak menangis pada setiap kali darah minyak memancut keluar daripada perutnya yang dirobek. Mungkin ia sangat mengerti makna sebuah pengorbanan. Aduhai lautan.....airmu tetap masin biar berjuta tahun lagi. Campaklah segala yang jijik dan mual, lautan tetap lautan, suci dan menyucikan kerana sifatnya "MUTLAK".

Thursday, February 11, 2010

ANTARA NAFSU DAN AKAL

Nafsu sifatnya degil dan mengarah manusia ke arah derhaka kepada Allah. Akal lawan kepada nafsu yang mengajak manusia kepada mengerjakan kebaikan. Justeru ikutlah akal yang sifatnya patuh dan taat. Jangan jadi manusia yang tunduk kepada nafsu kerana itulah bisikan syaitan yang dikutuk Allah SWT.

Wednesday, February 10, 2010

Program Mentor-Mentee 2010

Program bertujuan membantu calon-calon UPSR 2010 khususnya pencapaian cemerlang akademik. Seramai 19 orang guru dipilih sebagai mentor yang masing-masing mempunyai 3 orang murid sebagai mentee. Mudah-mudahan sedikit amal baik yang dikerjakan mendapat ganjaran setimpal daripada Allah. Insya'allah kejayaan milik kita bersama.

Program Motivasi Jejak Gemilang - Membentuk Anak Cemerlang

Program telah diadakan pada 6 Februari 2010 (Sabtu) bermula jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 12.00 tengahari.

ILMU, IMAN, AMAL

Mentor-Mentee

Mentor-Mentee - ILMU, IMAN, AMAL

Program Motivasi "Membentuk Anak Cemerlang"